Cara mudah tanam uri bayi di Putrajaya

Bagi orang Islam yang menyambut kelahiran cahaya mata tentu tahu yang uri bayi itu mesti diurus dengan baik dan ditanam dan bukannya dibakar.

Bagi pasangan yang dah pernah mendapat anak sebelum ini dan pernah menguruskan urusan menanam uri ini, mungkin tahu caranya tetapi bagi pasangan yang baru pertama kali mendapat baby, anda perlu ambil tahu dan belajar cara menanam uri bayi anda.

Selepas anak dilahirkan, biasanya pihak jururawat di hospital akan memberikan uri tersebut kepada ibu bapa untuk di bawa balik dan diuruskan sendiri.

Jika ada uri yang tak dituntut, pihak hospital akan meganggap ia sebagai medical waste dan uri tersebut akan diberikan kepada pihak kontraktor untuk dibakar sebagai cara pelupusan. Anda sampai hati ke nak bagi orang bakar uri bayi anda sendiri?

Kalau di kampung mungkin mudah untuk menanam uri bayi sebab banyak tanah lapang tetapi macam mana bagi anda yang tinggal di bandar terutama yang tinggal di rumah flat, kondo dan rumah apartment. Tanah yang ada sangat sedikit dan biasanya pihak pengurusan perumahan tak benarkan tanam uri bayi di kawasan perumahan tersebut.

Apa yang anda perlu buat?

Pada pendapat saya anda boleh bertanya kepada pihak pengurusan masjid atau surau yang berdekatan mungkin mereka dapat membantu. Tetapi saya tak tahu jawapan sebenar sebab saya tak ada pengalaman lagi kerana anak saya yang pertama hingga ketiga semua uri mereka ditanam di kawasan kampung.

Bagaimana jika di Putrajaya?

Oleh kerana Allah bagi rezeki anak keempat saya lahir di Putrajaya ketika saya menetap di sini, jadi saya ada sedikit pengalaman menanam uri bayi di Putrajaya. Tapi pengalaman ni sebenarnya berlaku masa kelahiran anak keempat saya pada 24 Disember 2018.

Di Putrajaya, anda boleh menanam uri bayi di kawasan Tanah Perkuburan Islam Putrajaya di Presint 20. Tanah perkuburan ini diselia dan dipantau oleh pihak Perbadanan Putrajaya.

Di sini juga dapat pengalaman sendiri dan alhamdulillah semuanya dipermudahkan.

Cara-cara untuk menanam uri bayi di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya:

1- Pergi ke Tanah Perkuburan Islam Putrajaya di Presint 20

2- Maklumkan kepada pihak pengawal keselamatan

Anda boleh cari dan bertanya kepada pengawal keselamatan yang bertugas di sana sama ada yang bertugas di surau atau di pejabat pentadbiran bersebelahan surau tersebut. Abang atau akak jaga di situ akan membawa anda ke tanah perkuburan berhadapan dengan surau.

3- Basuh uri

Ni gambar uri selepas dibasuh dan nampak agak pucat disebabkan saya lewat tanam dan simpan di hospital agak lama iaitu lebih kurang 19 jam selepas kelahiran. Sebaik-baiknya anda perlu tanam pada hari yang sama selepas kelahiran.

Jika anda belum membasuh uri tersebut di rumah, anda boleh cuci dan bersihkannya di tanah perkuburan tersebut.

Saya basuh uri menggunakan air paip di sana untuk buang darah serta saya campurkan garam dan limau nipis sebab uri tersebut sudah berbau disebabkan saya simpan agak lama iaitu selepas 19 jam kelahiran. Sebaiknya pada hari pertama kelahiran, suami atau keluarga perlu segera tanam uri bayi supaya tidak berbau.

4- Kawasan menanam uri bayi

Anda akan ditunjukkan kawasan untuk menanam uri bayi di kawasan tanah perkuburan tersebut.

5- Korek lubang

Anda dibekalkan cangkul dan perlu mengorek sendiri lubang dengan kadar kedalaman yang sesuai sekurang-kurangnya binatang liar seperti anjing tidak dapat bau dan tidak dapat mengoreknya.

6- Masukkan uri

Kemudian masukkan uri bayi ke dalam lubang tersebut sama ada masukkan uri sahaja atau masukkan sekali dengan bungkusan tersebut (jika menggunakan beg kertas). Biasanya pihak hospital akan bungkus uri bayi menggunakan beg kertas.

Kalau beg plastik, lebih baik masukkan uri sahaja ke dalam lubang dan plastik tersebut hendaklah dibuang ke dalam tong sampah dengan tujuan menjaga alam sekitar.

7- Kambus tanah

Kemudian kambus kembali tanah dengan kemas dan baik. Masa saya uruskan, akak jaga tu suruh saya letak batu bata yang disediakan sebagai tanda tempat tu ada tanam uri.

Itulah pengalaman saya menanam uri bayi di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya. Semuanya anda perlu buat sendiri tetapi dipantau oleh pengawal keselamatan tersebut.

Kalau anda yang tinggal di Putrajaya dan tak tahu kat mana nak tanam uri bayi anda, boleh datang ke sini.

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk kawan semua.

(Visited 406 times, 1 visits today)

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*