Cara mudah tanam uri bayi di Putrajaya

Setiap orang Islam yang menyambut kelahiran cahaya mata hendaklah mengambil tahu bahawa uri bayi itu mesti diurus dengan baik dan hendaklah ditanam, bukannya dibakar.

Bagi pasangan yang dah pernah mendapat anak sebelum ini dan pernah menguruskan urusan menanam uri, mungkin tahu caranya tetapi bagi pasangan yang baru pertama kali mendapat baby, anda perlu ambil tahu dan belajar cara menanam uri bayi anda.

Selepas anak dilahirkan, biasanya pihak jururawat di hospital akan memberikan uri tersebut kepada ibu bapa untuk di bawa balik dan diuruskan sendiri.

Jika ada uri yang tak dituntut, pihak hospital akan meganggap ia sebagai medical waste dan uri tersebut akan diberikan kepada pihak kontraktor untuk dibakar sebagai cara pelupusan. Anda sampai hati ke nak bagi orang bakar uri bayi anda sendiri?

Kalau di kampung mungkin mudah untuk menanam uri bayi sebab banyak tanah lapang tetapi macam mana bagi anda yang tinggal di bandar terutama yang tinggal di rumah flat, kondo dan rumah apartment. Tanah yang ada sangat sedikit dan biasanya pihak pengurusan perumahan tak benarkan tanam uri bayi di kawasan perumahan tersebut.

Apa yang perlu anda buat?

Pada pendapat saya anda boleh bertanya kepada pihak pengurusan masjid atau surau yang berdekatan mungkin mereka dapat membantu. Tetapi saya tak tahu jawapan sebenar sebab saya tak ada pengalaman lagi kerana anak saya yang pertama hingga ketiga semua uri mereka ditanam di kawasan kampung.

Bagaimana jika di Putrajaya?

Oleh kerana Allah beri rezeki anak keempat dan kelima saya lahir di Putrajaya ketika saya menetap di sini, jadi saya ada sedikit pengalaman menanam uri bayi di Putrajaya. Alhamdulillah, semalam bertarikh 23.11.2021, isteri saya melahirkan anak yang kelima pada jam lebih kurang 8.30 pagi di Hospital Putrajaya.

Di Putrajaya, anda boleh menanam uri bayi di kawasan Tanah Perkuburan Islam Putrajaya di Presint 20. Tanah perkuburan ini diselia dan dipantau oleh pihak Perbadanan Putrajaya.

Di sini juga saya dapat pengalaman sendiri dan alhamdulillah semuanya dipermudahkan.

Oleh kerana sekarang di musim pandemic Covid-19 dan suami tak dibenarkan masuk ke wad isteri bersalin, uri bayi anak saya tu diberikan di pintu luar dewan bersalin oleh nurse/sister.

Cara-cara untuk menanam uri bayi di Putrajaya

(1) Pergi ke Tanah Perkuburan Islam Putrajaya di Presint 20

(2) Pergi ke Pejabat Pentadbiran (Unit Perkuburan, Perbadanan Putrajaya)

(3) Maklumkan kepada pihak pengawal keselamatan

Anda boleh cari dan bertanya kepada pengawal keselamatan yang bertugas di sana sama ada yang bertugas di surau atau di pejabat pentadbiran. Pihak jaga tersebut akan membawa anda ke tanah perkuburan berhadapan dengan surau.

(4) Basuh uri

Jika anda belum membasuh uri tersebut di rumah, anda boleh cuci dan bersihkannya di tanah perkuburan (kalau anda nak basuh)

Saya basuh uri baby saya menggunakan air paip di sana untuk buang darah yang masih berair sebab masih baru (saya ambil uri baby saya di hospital sekitar jam 9.00 pagi dan tanam uri ni sekitar jam 11.00 pagi lebih macam tu.

Kalau uri tersebut disimpan agak lama (mungkin 10 jam ke atas), mungkin uri tersebut akan berbau kuat. Kalau macam ni, elok anda campurkan sedikit garam dan limau nipis semasa basuh uri di tanah perkuburan tersebut bertujuan untuk hilangkan sedikit bau kuat uri tu.

(5) Kawasan menanam uri bayi

Anda akan ditunjukkan oleh jaga bertugas tu tempat untuk menanam uri bayi di kawasan tanah perkuburan tersebut.

(6) Korek lubang

Anda dibekalkan cangkul dan perlu mengorek sendiri lubang dengan kadar kedalaman yang sesuai sekurang-kurangya binatang liar seperti anjing tidak dapat bau dan tidak dapat mengoreknya.

(7) Masukkan uri

Kemudian masukkan uri bayi ke dalam lubang tersebut sama ada masukkan uri sahaja atau masukkan sekali dengan bungkusan tersebut (jika menggunakan beg kertas). Biasanya pihak hospital akan bungkus uri bayi menggunakan beg plastik dan dimasukkan dalam beg kertas. Saya masukkan dua-dua sekali.

(7) Kambus tanah

Kemudian kambus kembali tanah dengan kemas dan baik.

(8) Letak batu bata sebagai tanda

Batu bata ni pihak pengawal keselamatan akan bagi dan kita letakkan selepas kambus tanah tu sebagai tanda tempat tu ada ditanam uri bayi.

Itulah pengalaman saya menanam uri bayi di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya. Semuanya anda perlu buat sendiri tetapi dipantau oleh pengawal keselamatan tersebut sehinggalah selesai.

Kalau anda yang tinggal di Putrajaya dan tak tahu kat mana nak tanam uri bayi anda, boleh datang ke sini.

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk kawan semua.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*